Thursday 26 April 2007

Penghayatan Islam Asas Rumahtangga Bahagia dan Anak-anak yang Berjaya

Dewasa ini, isu berkaitan keibubapaan dan institusi kekeluargaan bukanlah satu isu yang baru. Malah ia adalah isu yang selalu diperkatakan dan sering diperdebatkan. Institusi keluarga dan ibubapa merupakan satu institusi yang penting dalam sistem sosial Islam. Justeru itu Islam memandang mulia kedudukan, tugas, peranan dan tanggungjawab ibubapa kerana mereka adalah tunggak dan pencorak generasi masakini yang bakal menggalas kepimpinan negara pada masa hadapan. Merekalah yang menjadikan anak-anak sebagai aset negara yang tidak ternilai.

Ibubapa berfungsi sebagai penggerak yang paling penting dalam mendidik anak-anak dan keluarga ke arah membina kehidupan berumahtangga yang baik, sempurna dan diredhai oleh Allah. Skima penilaian ibubapa yang berjaya tidak meletakkan faktor kebendaan atau aspek lahiriah semata-mata tetapi lebih dari itu. Faktor keterampilan dan kemampuan untuk melahirkan dan membentuk satu generasi anak-anak yang berilmu, bertakwa, beriman dan beramal soleh adalah penentu dalam situasi dan ruang lingkup tugas dan tanggungjawabnya sebagai ibubapa. Inilah ukuran yang menjadi kriteria utama kejayaan mereka.

Jika kita mengukur dan menilai ibubapa berjaya berdasarkan kebolehan atau pencapaian aspek kebendaan semata-mata tanpa memikirkan soal adab, kesopanan, maruah dan budi pekerti sudah tentu ianya akan hanya melahirkan generasi ynag tempang dan seterusnya masyarakat yang pincang.
Ibubapa yang memahami, memperlengkapkan diri dan membentuk dengan asas-asas pengetahuan Islam untuk membina keluarga berlandaskan asas keagamaan akan dapat merealisasikan tuntutan sebenar dari perkahwinan tersebut. Persediaan keagamaan ini penting sebagaimana ditegaskan dalam firman Allah bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan juga keluarga kamu dari api nereka.
(Al-Tahrim:6)

Kemuliaan institusi ini dipelihara oleh Islam di mana ianya perlu dimulai dengan peraturan tertentu iaitu perkahwinan dan bukannya melalui hubungan sulit atau perzinaan. Maksudnya batasan dan kefahaman agama menjadi pendorong utama apabila perkahwinan hendak dilaksanakan.

Kita juga tidak mahu keruntuhan sistem kekeluargaan adalah berpunca dari faktor kurangnya pengetahuan atau didikan agama yang dimiliki oleh ibubapa. Hakikatnya ibubapa yang memiliki didikan agama dan menghayati falsafah perkahwinan dan diterjemahkan dalam rumahtangganya dapat menjalankan fungsinya dengan baik dalam kehidupannya. Ini adalah kerana pertimbangan soal dosa dan pahala adalah asas penting dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab kita terhadap diri, keluarga masyarakat dan negara.

Akan datang…

Bagaimana meningkatkan potensi nilai akhlak anak-anak terhadap ibubapa?.